Because living is fighting, we are your friend, always there all the time.

EMPOWERED’s ‘Love Your Butt. Check Your Guts’ Colorectal Cancer Awareness Day

13th - 14th May 2017

EMPOWERED – Persatuan Advokasi Kanser Malaysia Mempelopori Usaha Kesedaran Kanser Kolorektal ‘Love Your Butt, Check Your Guts’

Petaling Jaya, Selangor (13 Mei 2017) – EMPOWERED, Persatuan Advokasi Kanser Malaysia melancarkan Projek Kesedaran, Saringan dan Rawatan Kanser Kolorektal (CCASTP) di Paradigm Mall, Petaling Jaya. Berikutan majlis perasmian oleh Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya (JKWPKLP)Dr. Rozlan bin Ishak, kempen kesedaran kanser kolorektal dijalankan selama 2 hari bersama aktiviti-aktiviti kecergasan yang mempromosi gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat Malaysia. Bertema ‘Sayangi Usus Besar Anda, Menjalani Saringan Awal’, kempen ini yang merupakan kolaborasi kreatif antara pakar sukan dan kesihatan, industri perubatan, serta jabatan kesihatan Malaysia telah menyebarkan mesej-mesej penting mengenai kanser kolorektal kepada masyarakat umum dengan efektif. Kanser kolorektal, atau dikenali sebagai kanser usus besar, merupakan kanser yang paling lazim kepada kaum lelaki seta yang kedua lazim kepada kaum perempuan di Malaysia.

Kempen kesedaran ini merupakan sebahagian daripada projek tahunan EMPOWERED yang bermatlamat menyelamatkan rakyat-rakyat Malaysia berpendapatan rendah daripada kanser kolorektal, iaitu Projek Kesedaran, Saringan dan Rawatan Kanser Kolorektal (CCASTP). Projek ini melakukan saringan yang mudah dan efektif melalui saringan sampel tahi, ataupun dikenali sebagai fecal immunohistochemical test (FIT). Sejak tahun 2009, usaha EMPOWERED telah berjaya mencapai seramai 100,000 rakyat Malaysia berpendapatan rendah di komuniti-komuniti Lembah Klang yang serba kekurangan. Sebuah kajian saintifik turut dijalankan untuk projek ini, dan kajian tersebut telah diterbitkan di Jurnal Pencegahan Kanser Asia Pasifik (Asia Pacific Journal of Cancer Pacific). Berdasarkan data yang dikumpulkan, tahap kesedaran terhadap kanser kolorektal serta ujian saringan untuk penyakit ini adalah agak rendah, terutamanya dalam kalangan rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah. Jantina, umur, kaum serta factor risiko seperti merokok, gaya hidup yang kurang aktif, serta diet yang berkurangan dengan sayur dan buah merupakan faktor yang dikaitkan dengan keputuan ujian saringan yang positif. Namun, kadar pulangan alat saringan (91.2%) serta kadar pemeriksaan susulan (70.3%) adalah agak tinggi.

Tahun ini, kempen kesedaran kanser kolorektal EMPOWERED mengambil pendekatan bertema gaya hidup sihat dan cergas yang dipenuhi dengan kelas tarian dan gym, solekan percuma tanpa kimia, sesi senaman bersama fisioterapi profesional, kelas memasak dan sesi pencarian harta karun. Selain daripada itu, 15 stesen pendidikan yang kreatif turut menyebarkan mesej-mesej penting termasuk faktor risiko, sindrom kanser berketurunan, tahap-tahap kanser, cara saringan dan rawatan untuk kanser kolorektal.

Presiden dan pengasas EMPOWERED, Dr. Christina Ng, merupakan seorang pakar perunding onkologi perubatan yang amat menekankan kepentingan saringan awal dan pencegahan penyakit kanser kolorektal. Beliau turut berkongsi tentang kepentingan memastikan semua benefisiari EMPOWERED yang menghidapi penyakit ini mendapat sokongan sempurna bukan sahaja dari segi perawatan penyakit, tetapi juga dari sokongan emosi dan menyediakan petunjuk arah untuk pesakit selama perjalanan memerangi kanser. Benefisiari EMPOWERED, Puan Yeoh Wei Ling, didiagnos dengan polip-polip pra-kanser melalui projek EMPOWERED pada tahun 2014. Beliau masih ingat dengan jelas: “Saya ditimpa kekecewaan dan berasa amat terdesak apabila menerima keputusan bahawa najis saya berdarah. Saya begitu takut, kerana saya ingat saya akan mati.” Beliau meneruskan lagi, “Tapi, syukur kepada EMPOWERED, sukarelawan mereka sudi berduduk sebelah saya dan menunggu bersama-sama saya berjam-jam dalam proses di dalam hospital, menjelaskan perkataan-perkataan perubatan teknikal yang saya tidak faham, serta mendapatkan informasi lengkap berkenaan kanser kolorektal secara menyeluruh. Malah, semua ini dan saya tidak perlu membayar satu sen pun!”

Tuan Haji Zainuddin Mohammad Tahir, duta EMPOWERED dan juga bekas pesakit kanser kolorektal, turut berkongsi tentang impak penyakit tersebut terhadap kehidupan harian beliau, “Saya didiagnos dengan kanser kolorektal pada tahun 1978. Disebabkan oleh kekurangan kesedaran dan pengetahuan terhadap penyakit ini, saya berasa amat takut, kecewa dan berasa kehilangan arah hidup. Namun saya mengambil keputusan untuk menjalankan pembedahan, dan kini saya bergantung kepada beg stoma untuk sepanjang hayat. Beg stoma ini membawa banyak impak terhadap kehidupan saya.” Sebagai seorang bekas pesakit kanser, beliau memberi sokongan padu kepada usaha EMOPWERED yang holistik kepada komunit berpendapatan rendah “Saya amat menghargai usaha-usaha EMPOWERED yang membawa saringan dan rawatan kanser kolorektal secara percuma kepada masyarakat kurang berkemampuan.”

Dr. Ng amat bersyukur terhadap sokongan berterusan yang diberikan oleh individu serta pertubuhan kepada EMPOWERED, “Kolaborasi antara Kementerian Kesihatan dan EMPOWERED adalah contoh bagaimana sektor awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh bekerjasama untuk merealisasikan agenda kerajaan, iaitu melahirkan komuniti Malaysia yang lebih sihat.”

Images of EMPOWERED’s ‘Love Your Butt. Check Your Guts’ Colorectal Cancer Awareness Day