Because living is fighting, we are your friend, always there all the time.

Rosnah Shirlin lancar My Journal, buku panduan bagi pesakit barah

25 February 2011

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin hari ini melancarkan My Journal, buku panduan kesihatan bagi pesakit barah mendapatkan maklumat mengenai penyakit itu dengan lebih tepat.

"Buku ini mengandungi maklumat mengenai jenis-jenis ujian diagnostik yang boleh dijalani pesakit dan menerangkan pelbagai jenis rawatan penyakit itu dan nasihat mengenai kesan rawatan penyakit kepada kehidupan peribadi serta keluarga pesakit," katanya semasa melancarkan buku itu di sini.

Beliau berkata melalui buku itu, orang ramai boleh mendapat maklumat mengenai langkah penjagaan serta rawatan penyakit barah dan ia diharap dapat meningkatkan tahap kesedaran rakyat mengenai bahaya penyakit itu.

Buku tulisan Perunding Perubatan Onkologi, Dr Christine Ng, yang juga Presiden Persatuan Penyokong Pesakit Kanser Malaysia (Empowered) merupakan catatan pribadi pengalamannya sebagai seorang doktor yang merawat pesakit barah, kata Rosnah.

Buku setebal 113 muka surat dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil itu dijual pada harga RM30 sebuah dan boleh didapati di Hospital Pantai Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Sunway Petaling Jaya, Pusat Perubatan Sabah dan Pusat Pakar LohGuanLye Pulau Pinang atau melalui laman web di www.empowered.org.my.

Sementara itu Dr Ng dalam ucapannya berkata beliau menulis buku itu kerana prihatin dengan kesukaran dan salah tanggapan mengenai penyakit itu oleh pesakitnya.

"Sesetengah pesakit sering bertindak berdiam diri dan berserah kepada takdir, tetapi dengan berpandukan maklumat yang betul serta sokongan, mereka akan lebih bersedia menjalani rawatan pemulihan," katanya.