Because living is fighting, we are your friend, always there all the time.

'Jurnal Ku' - bantu mangsa kanser

15 March 2011

KUALA LUMPUR – Jika ditakdirkan anda disahkan menghidap kanser, sudah tentu perkhabaran itu ibarat tanpa ‘salam atau pesan’ hingga boleh membawa pelbagai perasaan yang mencengkam emosi.

Lebih mengeruhkan lagi keadaan, jika pesakit terbabit tidak mempunyai laluan kepada maklumat, sokongan serta bantuan yang sedia ada. Justeru menyebabkan mereka hilang punca dan dihantui kesengsaraan untuk mengharungi penyakit ini.

Meskipun jalan serta laluan bagi pesakit berkenaan untuk pulih mungkin ‘jauh’ dan dirintangi pelbagai halangan namun ramai juga yang telah berjaya mengharunginya dan kini menjalani kehidupan yang sihat dan ceria.

Situasi inilah yang memberikan inspirasi kepada Pakar Runding Onkologi, Dr Christina Ng untuk menulis buku ‘My Journal’ dalam usaha membantu pesakit melalui perjalanan memerangi dan sembuh daripada penyakit ini.

Buku itu adalah satu sumber ‘personal’ atau peribadi bagi mereka yang sembuh dan yang masih memerangi penyakit itu.

Dr Ng, yang juga pengasas dan presiden EMPOWERED, sebuah pertubuhan mengenai penyakit kanser di Malaysia, berkata, pengalaman menunjukkan bahawa pesakit mempunyai harapan yang lebih jika mereka mempunyai maklumat yang mencukupi mengenai penyakit ini dan diberi peluang berbincang akan pilihan rawatan.

SUMBER BAGI PESAKIT KANSER

‘My Journal’ adalah satu projek khidmat masyarakat yang berfungsi sebagai satu sumber maklumat dan penjana semangat bagi pesakit kanser serta mereka yang sudah pulih mengharungi gejala itu.

Rangsangan untuk menulis buku itu datang ketika Dr Ng masih berkhidmat dalam sektor awam.

Katanya, ramai pesakit kanser tidak diberi penerangan yang jelas mengenai penyakit ini hingga mereka mempunyai pelbagai persepsi salah, yang berpunca daripada kurangnya maklumat.

“Saya sedar ramai pesakit hanya mempunyai maklumat yang sedikit mengenai kanser dan ini menyebabkan mereka diselubungi ketakutan yang tidak sepatutnya,” kata pakar onkologi itu pada majlis pelancaran edisi kedua ‘My Journal’ di sini baru-baru ini.

“Itulah yang memberikan inspirasi kepada saya untuk muncul dengan ‘My Journal’ sebagai sumber rujukan dan panduan bagi membantu pesakit memahami dengan lebih baik akan keadaan mereka serta rawatan intensif agar mereka lebih bersedia menghadapi hari-hari mendatang”, jelas Dr Ng.

Berdasarkan maklumbalas daripada pesakit yang menggunakan edisi pertama buku ini, yang dilancarkan pada 2007, pembaharuan serta peningkatan kandungan buku tersebut menjadikan ia lebih bermaklumat serta praktikal untuk digunakan.

Edisi kedua ‘My Journal’ telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Rosnah Abdul Rashid.

EDISI KEDUA

‘My Journal’ mengandungi maklumat mengenai jenis ujian diagnostik yang boleh dijalankan, jenis rawatan serta kaunseling kepada pesakit dan ahli keluarga terhadap pelbagai kesan yang mungkin dialami setelah menerima rawatan.

Buku edisi kedua ini juga mengandungi kertas catatan bagi membantu pesakit yang pulih dari kanser mengatur diari rawatan mereka, menyimpan tarikh temujanji dengan doktor dan mencatat senarai preskripsi ubat.

Apa yang lain mengenai ‘My Journal’ adalah buku itu bercorak ‘personal’. Ia berbentuk Filofax, iaitu bagi pesakit menyimpan secara fail laporan pemeriksaan perubatan atau artikel yang boleh memberikan inspirasi kepada mereka.

Buku itu juga mengandungi ruang bagi catatan peribadi di mana pesakit boleh melibatkan diri dalam penulisan pengalaman mereka mengenai kanser.

Dengan pelancaran edisi kedua buku tersebut, semua maklumat boleh didapati dalam empat bahasa – Inggeris, Melayu, Mandarin serta Tamil yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

BUKAN HUKUMAN MATI

“Kanser adalah penyakit yang serius dari segi fizikal dan emosi. Melalui diagnosis penyakit kanser, ia boleh ‘menderitakan’. Bila pesakit diberitahu menghidapi kanser, dia akan terkejut dan perasaan ini boleh bertukar menjadi takut, sedih dan kemudian marah,” kata Dr Ng.

Tetapi menghidap kanser bukanlah satu hukuman mati.

“Masih ada harapan dan kehidupan di sebalik kanser. ‘My Journal’ boleh menjana dan membantu pesakit untuk melihat ke hadapan, melewati sempadan penyakit ini dan mereka boleh menjalani kehidupan biasa selepas rawatan,” jelas Dr Ng.

“Kerap kali, pesakit yang sedang memerangi kanser akan merasai kesukaran untuk memberitahu ahli keluarga serta rakan mengenai keadaan mereka yang sedang bergelut untuk terlepas daripada cengkaman penyakit itu.

“Mempunyai maklumat tepat serta sokongan adalah penting ketika ini di mana pesakit perlukan fakta yang terang dan betul sebagai persiapan mental untuk pulih,” kata pakar onkologi itu lagi.

Pesakit, yang pulih daripada kanser kolorektum dan pengguna ‘My Journal’, Phong KT, berkongsi pengalaman beliau pada majlis pelancaran itu menyatakan bahawa usaha memerangi kanser adalah sesuatu yang menakutkan.

“Bila anda tidak tahu apa yang dihidapi, ia menambahkan lagi ketakutan dan keresahan. Saya bernasib baik diberitahu mengenai ‘My Journal’, yang memberikan maklumat berharga serta ketenangan kepada saya,” kata beliau.

Menurut Phong, pemikiran yang positif adalah penting dalam proses penyembuhan.

“Kalau anda mempunyai minda yang menyatakan boleh sembuh, bermakna anda telah berjaya sebanyak 50 peratus. Doktor serta keluarga anda akan memberi peluru, dan anda dengan ini perlu ke medan perjuangan,” tambah beliau.

MISI AKSES

Hospital awam terpilih yang mempunyai unit onkologi akan diberi 4,000 buku ‘My Journal’ edisi kedua bagi memenuhi misi akses EMPOWERED.

Buku My Journal edisi kedua dijual pada harga RM30 setiap satu dan akan dijual di empat hospital – Hospital Pantai Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Sunway di Petaling Jaya, Pusat Perubatan Sabah dan Pusat Pakar LohGuanLye di Pulau Pinang.