Because living is fighting, we are your friend, always there all the time.

JKM Bantu Pesakit Melarat

24 November 2010


NOORMAH (kiri) ketika merasmikan Bengkel Kesihatan Untuk Keluarga Bahagia anjuran EMPOWERED The Cancer Advocacy Society Malaysia sambil disaksikan Ng dan Adlan

PANTAI DALAM: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) komited menyediakan bantuan kewangan menerusi Skim Bantuan Sosioekonomi dan Bantuan untuk golongan yang menghidap penyakit melarat dari kalangan mereka yang berpendapatan rendah sebagai cara menolong meringankan beban gofongan terbabit. Pengarah JKM Wilayah Persekutuan, Noormah Abdul Rauf, berkata sehubungan itu pihaknya meminta mereka yang layak memohon supaya segera mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan menerusi skim berkenaan.

"Menerusi skim ini, penjaga pesakit melarat seperti kanser, sakit tua, batuk kering yang berpendapatan kurang RM720 akan diberi bantuan kewangan RM300 bagi membolehkan mereka menyediakan keperluan harian dan ubatan untuk pesakit di bawah tanggungan mereka. "Walaupun, ia mungkin jumlah yang kecil tetapi JKM sentiasa prihatin dan memastikan peruntukan bantuan ini diagihkan kepada masyarakat kurang bernasib baik tertakluk kepada syarat dan keperluan mereka," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meras­mikan Bengkel Kesihatan Untuk Keluarga Bahagia anjuran badan bukan kerajaan (NGO), EMPOWERED The Cancer Advocacy Society Malaysia (EMPOWERED) untuk penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden EMPOWERED, Dr Christina Ng dan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sri Pantai, Adlan Lobe. Bengkel sehari berkenaan diadakan dengan kerjasama JKM bermatlamat memberi kesedaran kanser kepada 350 penduduk berpendapatan rendah di PPR merapatkan hubungan ahli keluarga.

Noormah berkata, sehingga kini seramai 15,000 orang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima bantuan JKM yang membabitkan bantuan am, bantuan untuk kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) tidak bekerja dan penyakit melarat. "Di PPR Sri Pantai ini saja, kita sudah salurkan pertolongan sama kepada 1,761 penduduk dengan jumlah bantuan RM799,160. "Daripada 1,761 itu, 67 adalah individu yang menghidap penyakit melarat selain 234 ibu tunggal melalui peruntukan sebanyak RM48,600," katanya.